Kebanyakan orang suka mendedahkan keburukan dan aib orang. Ini jelas di kalangan orang Melayu. Ramai saling membicarakan hal orang dan keluarga orang lain.
Justeru ramai membicarakan tentang ragam dan tabiat anak muda Melayu yang tidak sihat. Anak Melayu terlibat dadah, mereka kaki judi, kaki disko dan sebagainya lagi. Memang benar ramai anak muda Melayu terjebak dengan pelbagai gejala sosial.
Di mana salahnya? Kenapa insan-insan ini tersasar dalam kehidupan mereka?
Jawapannya ialah mereka tersasar. Mereka mungkin tersalah didik atau mungkin juga mereka sengaja memilih cara hidup ini. Apapun, ia berhubung-kait dengan alam persekitaran mereka sendiri.
Ada di antara mereka yang datang dari keluarga mewah, kelas atasan tetapi jiwa mereka sepi, dan nurani mereka tak terisi. Sesetengah yang lainnya terbiar menggapai-gapai mencari asas kukuh untuk berpaut.
Sementara itu mereka yang datang dari keluarga yang bermasaalah pula selalunya berjiwa rapuh. Setiap kelainan adalah sesuatu yang akan membuat mereka mudah teruja kepada sesuatu yang akan membawa mereka keluar keadaan sedemikian, walaupun hanya berbentuk sementara.
Hakikatnya seorang anak muda Melayu boleh jadi apa saja mengikut acuan yang membentuknya. Kalau diisi dengan Nur Islam, insya Allah anak itu akan menjadi seorang Islam yang beramal soleh. Tapi jika anak itu dibentuk menjadi seorang Nasrani atau Yahudi, bagaimana anak Melayu itu akan menjadi seorang Islam. Inilah kenyataannya!